Wednesday 5 December 2012

TIPS SKEMA UPSR



GAGAL menjawab soalan penyelesaian masalah antara faktor utama calon tidak mendapat markah maksimum bagi Matematik Kertas 1, manakala untuk Kertas 2 pula kerana tidak menunjukkan jalan pengiraan. Sehubungan itu, calon diingatkan supaya tidak terlalu gopoh, sebaliknya memberi tumpuan ketika menjawab soalan kedua-dua kertas itu. 

KERTAS 1
Seperti yang calon sedia maklum, kertas ini mengandungi 40 soalan objektif.  Soalannya boleh dikategorikan dua jenis, iaitu bentuk persamaan dan penyelesaian masalah. 
 
1.  8 hingga 10 soalan disoal dalam bentuk persamaan membabitkan nombor dan simbol matematik. Soalan jenis ini boleh dianggap mudah dan calon hanya perlu berhati-hati ketika membuat pengiraan seperti meletak nombor pada nilai tempat, meletak titik perpuluhan di tempat yang betul, mengikut peraturan pengiraan yang betul, contohnya BODMAS, membuat penukaran unit dengan tepat dan berhati-hati ketika membuat pengumpulan semula.

2.  Dalam lingkungan 30 lagi soalan adalah jenis penyelesaian masalah yang boleh dilihat dalam dua bentuk penyoalan, iaitu ayat sepenuhnya dan sebahagian dibantu rajah, jadual, graf dan gambar.

3.  Sebelum menjawab, calon perlu membaca soalan sekurang-kurangnya dua kali. Kenal pasti maklumat terdapat dalam soalan. Biasanya soalan penyelesaian masalah mempunyai lebih daripada satu maklumat. Gariskan maklumat penting itu.

4.   Calon juga perlu mengecam kata kunci dalam soalan, contohnya ‘bakinya’, ‘yang tinggal’, ‘diberikan sama banyak’, ‘simpanan’, ‘untung’, ‘rugi’, ‘diskaun’ dan sebagainya.

5.  Perkara penting calon perlu tahu ialah apakah kehendak soalan. Persoalan inilah yang perlu calon jawab. Kehendak soalan ada dalam ayat terakhir. Setelah mengenal pasti maklumat, kata kunci dan kehendak soalan, rancang pula langkah pengiraannya.

6.  Ayat kedua setiap soalan lazimnya merujuk kepada maklumat untuk membuat pengiraan. Perkataan sebelum atau selepas angka dikemukakan lazimnya membantu calon menentukan operasinya (tambah, tolak, darab dan bahagi).Setelah itu tukarkan ayat pernyataan soalan ke dalam bentuk ayat matematik. Pastikan operasi betul digunakan untuk membuat pengiraan.

7.  Perlu diingat, bagi menjawab soalan penyelesaian masalah, calon perlu lebih daripada satu operasi dan jalan kerja.

8.  Bagi soalan membabitkan sukatan, pastikan unit disamakan terlebih dulu. Soalan jenis penyelesaian masalah juga banyak dibantu rajah, graf, jadual dan gambar yang memerlukan calon membuat penelitian kerana sebahagian maklumat ada pada rajah disertakan, manakala sebahagian maklumat lagi dalam pernyataan soalan.

9.    Antara kelemahan yang sering dilakukan calon ialah:
a) Membaca soalan dan terus mengira mengikut kefahaman sendiri.
b) Tidak membuat penelitian terhadap ayat terakhir dan mencari kehendak soalan. 
c) Terlalu cepat membaca soalan hingga tertinggal maklumat.
d) Tidak merujuk rajah, graf, jadual dan gambar diberikan.
e) Terus membuat pengiraan tanpa menyemak semula.
 f) Kurang membina ayat matematik sebelum memulakan pengiraan.
g) Lemah membuat tafsiran terhadap perkataan atau ayat yang digunakan. 

KERTAS 2

1. Sebahagian besar calon menganggap Kertas 2 mudah berbanding Kertas 1. Pada dasarnya tanggapan itu benar tetapi perlu diingat ia banyak mempengaruhi kedudukan gred keseluruhan bagi subjek Matematik.

2.  Jika kurang mahir menjawab Kertas 2, besar kemungkinan calon akan melakukan kesilapan sewaktu memberikan jawapan.

3.   Ramai calon gagal mentafsir kehendak soalan terutama bagi jenis penyelesaian masalah. Malah, ada yang tidak dapat menukar masalah dikemukakan dalam soalan ke bentuk ayat matematik.

4.  Sejumlah 20 soalan dikemukakan dalam Kertas 2. Antara cirinya ialah bentuk subjektif, perlu menulis langkah pengiraan dengan jelas bagi mendapatkan jawapan. Pemarkahannya berdasarkan tiga aras, iaitu satu markah (5 soalan), dua markah (10 soalan) dan tiga markah (5 soalan).

5.  Kesilapan sering dilakukan calon ialah kurang tumpuan dan tidak menunjukkan langkah pengiraan yang jelas.

6.  Langkah pengiraan perlu ditunjukkan dengan jelas dan tepat mengikut unit diperlukan dalam jawapan. Soalan dua dan tiga markah agak mudah kerana penyoalannya tidak menggunakan ayat terlalu panjang. Banyak soalan dibantu rajah dan gambar. Ini memudahkan calon memahami kehendak soalan.

7.   Bagi soalan tiga markah, hampir kesemuanya membabitkan rajah dan jadual. Untuk soalan ini, pastikan pengiraan atau maklumat awal digunakan dalam pengiraan tidak salah nilai. Kesilapan ini menyebabkan pengiraan seterusnya menjadi salah.

8.   Secara keseluruhan, calon perlu memberi tumpuan terhadap soalan yang menggunakan ayat dan rajah.

9.  Kesilapan kerap berlaku dikaitkan dengan kegagalan calon memahami maksud ayat terakhir atau memberikan jawapan selepas langkah pengiraan dilakukan, sedangkan jawapan sebenar setelah langkah kedua atau ketiga.

2 comments:

  1. sangat bermaklumat bagi membantu murid-murid mengatasi masalah dalam matematik

    ReplyDelete
  2. terbaik...... informasi yg dapat membantu saya sbg guru matematik

    tq ckg mai

    ReplyDelete